JAWATANKUASA KECIL AHLI MAJLIS

PELANTIKAN JAWATANKUASA KECIL UNTUK MPKK BAGI TEMPOH SEHINGGA 31 DISEMBER 2010
1. PENDAHULUAN
1.1 Berdasarkan kepada kehendak Seksyen 28, Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) boleh melantik Jawatankuasa-Jawatankuasa tertentu bagi melicinkan lagi urusan pentadbirannya.
1.2 Pentadbiran Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil ini adalah perlu bagi tujuan-tujuan berikut:-
i. membolehkan sesuatu isu itu dibincangkan dengan teliti sebelum sesuatu keputusan mengenainya dibuat;
ii. membolehkan setiap Ahli Majlis yang dilantik menganggotai sesuatu Jawatankuasa Kecil memahami dan mendalami semua polisi dan undang-undang yang berkaitan; dan
iii. memberi peluang kepada setiap ahli yang dipilih bagi sesuatu Jawatankuasa Kecil memberikan pendapat dan pandangan mereka dalam suatu forum yang lebih kecil.
1.3 Walau bagaimanapun, fungsi Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil yang dibentuk akan dihadkan bagi membincang dan membuat keputusan ke atas perkara-perkara tertentu terutamanya yang ada kaitan secara langsung dengan bidang dan tanggungjawab mereka supaya tidak wujud pertindihan kuasa antara sesuatu Jawatankuasa Kecil itu dengan badan induknya iaitu Mesyuarat Penuh.
2. KUASA JAWATANKUASA KECIL
2.1 Kuasa sesuatu Jawatankuasa Kecil itu hanyalah untuk melulus atau menolak apa-apa permohonan yang dikemukakan dan dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut sahaja. Semua keputusan yang akan dibuat oleh mana-mana Jawatankuasa Kecil ini adalah semestinya berasaskan kepada Akta, Undang-Undang Kecil serta Polisi dan Peraturan yang sedia digunapakai oleh MPKK.
2.2 Mana-mana Jawatankuasa Kecil adalah tidak dibenarkan melulus ataupun menolak apa-apa Undang-Undang Kecil atau Polisi-Polisi yang baru melainkan setelah dibawa ke Mesyuarat Penuh (rujuk kepada bidang kuasa Jawatankuasa Kecil).
2.3 Sekiranya terdapat apa-apa keraguan dan keputusan tidak boleh dicapai dalam sesuatu Mesyuarat Jawatankuasa Kecil, maka perkara tersebut hendaklah dibawa dan dibincangkan dalam Mesyuarat Penuh dan sebarang keputusan olehnya adalah muktamad melainkan sebaliknya tertakluk kepada kehendak-kehendak dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
2.4 Selain daripada bidang kuasa yang akan ditentukan, mana-mana Jawatankuasa Kecil juga boleh dijadikan forum untuk membincangkan masalah-masalah semasa serta memberikan apa-apa pandangan berkaitan dengan fungsi sesebuah Jawatankuasa itu dan dengan syarat perkara-perkara yang dibincangkan adalah tertakluk kepada Polisi, Undang-Undang Kecil dan Akta-Akta sedia ada serta digunapakai.
2.5 Semua keputusan oleh mana-mana Jawatankuasa Kecil yang diwujudkan adalah sah dan perlu dimaklumkan kepada Mesyuarat Penuh. Walau bagaimanapun, sebarang kes rayuan (jika ada) hendaklah dibincang dan diputuskan oleh Mesyuarat Penuh dan keputusan mengenainya adalah muktamad melainkan sebaliknya tertakluk kepada kehendak-kehendak dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).