PERLAKSANAAN SIJIL SIAP & PEMATUHAN (CCC)
LATAR BELAKANG
CCC atau Sijil Siap & Pematuhan telah dikuatkuasakan pada 12 April 2007. Ia memberi sepenuh kepercayaan kepada Jurutera Profesional, Arkitek Profesional dan Pelukis Pelan Bangunan untuk mengeluarkan sijil CCC dan PBT tidak akan lagi mengeluarkan CFO. Bagi projek-projek yang diluluskan sebelum 12 April 2007, PBT masih lagi layak mengeluarkan CFO.
Perlaksanaan CCC telah melibatkan pemindaan terhadap 6 akta iaitu Akta 133, Akta 117, Akta 138, Akta 118, Akta 318 dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984. Pemindaan akta-akta ini telah diterimapakai oleh semua Pihak Berkuasa Negeri di Semenanjung Malaysia mulai 12 April 2007 dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 2007 telah diwartakan pada tarikh yang sama.
Perlaksanaan CCC adalah merupakan satu komitmen Kerajaan di dalam memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan khususnya di dalam pembangunan industri hartanah. Perlaksanaan ini akan memudahkan para pelabur dan pemaju berurusan dengan Kerajaan dan dapat membantu menurunkan kos menjalankan perniagaan di negara ini. Ia akan meningkatkan daya saing negara.
MATLAMAT
Pengambilalihan tanggungjawab dan peranan di dalam mengeluarkan persijilan keselamatan dan keselesaan bangunan oleh para professional akan meningkatkan daya saing negara.
Membantu mengurangkan tekanan dan bebanan ke atas PBT.
Mewajibkan semua pihak yang bertanggungjawab terhadap sesuatu pembangunan itu seperti para professional dan kontraktor untuk mengesahkan penyiapan dan pematuhan komponen-komponen berkenaan agar pembangunan itu selamat dan selesa sebelum digunakan. Pengesahan akan dibuat melalui Borang G1 hingga Borang G3 di bawah peruntukan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 2007.
PEMANTAUAN
Pemantauan CCC di Majlis Perbandaran Kuala Kangsar akan dilakukan sepenuhnya oleh Jabatan Kejuruteraan MPKK.