MENU

BANDAR KUALA KANGSAR - Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) tidak akan berkompromi terhadap peniaga yang mengabaikan aspek kebersihan semasa berniaga di Bandar Diraja Perak itu.

Yang Dipertuanya, Datuk Shahrom Abd Malik berkata, peniaga boleh dikenakan tindakan disenarai hitam daripada memperbaharui lesen sekiranya didapati tidak menjaga kebersihan.

Menurutnya, beliau kesal apabila melihat tiada satu lorong pun yang bersih selepas melakukan tinjauan mengejut di Pasar Pagi Ahad di bandar tersebut.

Tambah beliau, tinjauan selama dua jam bermula 1 tengah hari itu turut mendapati sampah dibuang begitu sahaja tanpa ada rasa tanggungjawab.

"Sebanyak lapan tan sampah dikutip dari aktiviti perniagaan di Pasar Pagi Ahad termasuk dari pekedai di sekitar kawasan tersebut.

"Melihat kepada keadaan di sini yang langsung tidak dijaga kebersihannya, MPKK akan bertindak tegas selepas ini dan tiada lagi kompromi kepada mereka yang mengabaikan kebersihan.

"Tindakan penguatkuasaan dan pengeluaran kompaun akan dikenakan malah kita juga bersedia menahan mereka daripada memperbaharui lesen perniagaan," katanya.

Beliau berkata, tinjauan pada hari tersebut turut meliputi tandas awam berhampiran dan ia dilaksanakan sempena program ‘My Beautiful Day’ yang akan dianjurkan tidak lama lagi.

"Kebersihan merupakan aspirasi utama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang ingin memastikan Perak menjadi negeri bebas sampah.

"Selain itu, MPKK juga mahu pengunjung yang tiba ke Kuala Kangsar merasai keselesaan dengan tahap kebersihan di bandar ini," katanya.

Dalam tinjauan tersebut, Shahrom turut meluangkan masa membantu mengemas kawasan itu yang dipenuhi sampah selepas aktiviti perniagaan tamat.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 20 March 2017 - 4:56pm