MENU
 

LANDSKAP 1

Kuala Kangsar, 3 Mac 2020 – Bertempat di Laman Budaya, Kuala Kangsar telah berlangsung majlis sambutan Hari Landskap Negara 2020 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan. Sambutan ini merupakan acara tahunan yang dilaksanakan oleh Jabatan Landskap Negara sejak tahun 1998 dan HLN2020 merupakan sambutan kali yang ke-23 yang bakal diadakan. Tema sambutan pada tahun ini adalah “Generasi Muda Mencorak Landskap Negara”.

Kronologi rencana kita bagi projek ini telah bermula pada bulan Oktober 2019 setelah mendapat titah daripada DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Seterusnya, Kerajaan Negeri Perak mendapat kerjasama daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) di mana pihak TNB akan turut serta dalam projek ini sebagai projek CSR mereka yang diberi nama Tree For A Tree. Selepas itu, barulah kita mulakan gerak kerja dengan perbincangan, melawat tapak, persembahkan idea kepada DYMM Paduka Sultan Perak, membuat koloborasi bersama-sama agensi sekitar Kuala Kangsar tidak kira agensi awam, swasta, institut pengajian tinggi dan komuniti.

LANDSKAP 2

Istimewanya Hari Landskap Negara di Negeri Perak, fokus utama adalah untuk menghijaukan Kuala Kangsar dengan spesis nadir dan pokok-pokok hutan tempatan. Sejumlah 633 anak pokok daripada 36 spesis kita telah tanam untuk projek ini. Antara spesis-spesis tersebut adalah Merawan Siput (Hopea Sangal), Beruas, Ara, Kelumpang Burung, Kopsia Arborea, Tembusu Tikus, Merlimau, Mata Pelanduk, Asam Gelugor, Sentul, Medang Pasir dan juga Rambai Istana.

 

Ada diantara spesis yang ditanam ini merupakan pokok yang semakin pupus. Sebagai contoh, pokok Merawan Siput ataupun nama saintifiknya, Hopea Sangal. Pokok ini telah diklasifikasikan sebagai tumbuhan terancam oleh International Union for Conservation of Nature’s Red List. Pada majlis sambutan yang kita raikan pada hari ini, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama-sama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak dan Duli Yang Amat Mulia Raja Dihilir Perak telah menanam pokok tersebut.

LANDSKAP 3

Selain daripada itu, terdapat pameran daripada sembilan agensi kerajaan, swasta dan juga daripada pihak pengusaha produk pelancongan. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan majlis sambutan Hari Landskap Negara 2020 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan ini.